Saturday, March 2, 2013

Sebuah pengakuan

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ 
In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful.


Kisah hidup resam dunia
Baru saja cerah tiba, datang mendung menutup,
Bersilih ganti hujan pedih dan kecewa
Lalu lemas dalam taufan hati yang tidak surut,
Tika petir sabung menyabung dalam kepala,
Mengeluh diri tertanya-tanya akhir semua ini bila?
Benar, hari pasti akan pulih, harapan pasti ada, itu janji Tuhan
Tapi, hari pasti diduga, taburan ujian pasti ada, itu juga janji Tuhan

Dan pada setiap sentakan yang diterima
Ditengah-tengah putaran keliru
akibat dosa sendiri, bukan orang lain,
Ketika jiwa terasa tertekan dan sempitnya dada
Bila mana iman senipis-nipis rupa dan rasa
Di sini, di ruang ini,
aku terduduk, sujud, menangis raung meratap kelemahanku..
aku terduduk, sujud, menangis raung meratap kehinaanku..
aku terduduk, sujud, menangis raung meratap keburukanku..

Wahai dunia,
Tidak aku tersimpuh di sini kerana aku kuat
Tapi aku terduduk di sini kerana aku lemah selemah-lemah insan,
Tidak aku tertunduk menangis di sini kerana aku suci
Tapi tertunduk aku kerana dosaku menimbus bertimbun,
Tidak aku sujud di sini kerana aku sudah sempurna
Tapi sujudku tanda kelemahanku yang berulang-ulang tak terbaiki,
Tidak aku berkata-kata dengan Tuhan kerana aku berani
Tapi pengaduan ku itu bukti aku hamba yang amat takut dan penakut,
Bukan tangisan ini tanda aku sudah menang dan tenang
Tapi aku teresak-esak kerana akulah yang asyik kalah dan kalah dan kalah dalam mujahadah,

Allah.. Allah.. Allah Rabb ku
Dan bukanlah tercurahnya rahmat kasih sayang belas simpatiNya kerana amalanku yang senipis debu
Sesungguhnya siraman kebaikan yang kutadah adalah kerana Rahman, Raheem, Kareem dan Akbar itu sifat hakikat Rabb ku

Ya Rabb, Ya Rabb, Ya Rabb..
Kuterus bersimpuh tunduk menadah tangan di sini memohon..
Selamatkanlah aku...
Selamatkanlah aku...
Selamatkanlah aku...


F.S - 17th June 2012



Share This: